Mat Zan tidak tertekan dengan sasaran yang ditetapkan

By Ammar Hakim 21 December 2016
Mat Zan tidak tertekan dengan sasaran yang ditetapkan

Jurulatih AirAsia FC, Mat Zan Mat Aris, tidak berasa tertekan biarpun harapan tinggi diletakkan oleh pihak pengurusan agar dia mengulangi kejayaan sama ketika membimbing Melaka.

Dengan kehadiran enam bekas pemain Melaka dan beberapa tonggak berpengalaman, ramai melihat AirAsia atau akan dikenali sebagai PJ Rangers pada musim depan, bakal menjadi pilihan untuk menjuarai Liga FAM.

Namun, Mat Zan tidak mahu ramai pihak terlalu cepat melabel mereka sebegitu, sebaliknya menghormati kekuatan pasukan lain seperti Felcra FC.

"Kami melihat Liga FAM hanya dibarisi oleh pemain tempatan, jadi ia merupakan satu cabaran juga buat saya kerana pemain AirAsia rata-ratanya pemain yang berpengalaman yang pernah beraksi dalam Liga Super dan Liga Perdana.

"Pada awal musim, kami cuba untuk membuat persiapan yang rapi," jelasnya.

Dalam masa sama, Mat Zan menjelaskan bukan sesuatu yang mudah untuk membimbing sesebuah pasukan dalam saingan Liga FAM.

Berbeza dengan saingan Liga Super atau Perdana, jelas Mat Zan, seseorang jurulatih perlu melakukan penelitian lebih mendalam mengenai pasukan lawan.

"Dalam Liga FAM, mungkin pemain yang berpengalaman sudah berada di penghujung karier mereka. Ramai pemain muda yang mewakili kelab kerana tiada pemain dari negeri yang beraksi dalam Liga FAM."

About Author

Ammar Hakim

Comment