Mat Yo tekad balas kepercayaan Kim Swee

By Ammar Hakim 2 October 2016
Mat Yo tekad balas kepercayaan Kim Swee

Penyerang Terengganu, Norshahrul Idlan Talaha tekad membalas kepercayaan pengendali negara, Datuk Ong Kim Swee yang tetap memanggilnya memperkuatkan barisan negara untuk aksi persahabatan berdepan Singapura pada 7 Oktober ini, walaupun mengharungi musim sukar gara-gara kecederaan bersama Terengganu musim ini.

Pemain berusia 30 tahun itu seakan-akan tidak percaya namanya tetap disenaraikan Kim Swee meskipun kurang mendapat tempoh permainan musim ini.

Sempat beraksi selama 60 minit bersama Terengganu ketika aksi Liga Super menentang Kedah pada 24 September lalu, Norshahrul atau Mat Yo tekad memberikan yang terbaik.

"Saya memang terkejut dipanggil Datuk Ong Kim Swee dalam perlawanan untuk menghadapi Singapura," katanya.

"Saya akan lakukan yang terbaik untuk diri saya dan pasukan ini. Saya akan bekerja lebih keras dengan kemampuan yang saya ada."

Enggan mengecewakan tanggungjawab yang telah diberikan terhadapnya, Mat Yo turut membuat latihan tambahan.

"Insyallah dengan pertolongan barisan jurulatih di kem skuad negara saya mampu membantu pasukan di perlawanan itu nanti.

"Ketika ini pun jurulatih telah menyediakan latihan tambahan untuk saya di sebelah petang," ujarnya.

Setelah sekian lama menyepi, kelibat pemain berusia 30 tahun yang juga antara tonggak utama yang mencipta sejarah buat Malaysia menjulang Piala Suzuki AFF 2010, selepas meraih pingat emas Sukan SEA pada 2009, akan kembali kelihatan bersama skuad kebangsaan.

About Author

Ammar Hakim

Comment