Masa depan Cheng Hoe bersama Kedah jadi tanda tanya

By Ammar Hakim 27 March 2017
Masa depan Cheng Hoe bersama Kedah jadi tanda tanya

Pengendali Kedah, Tan Cheng Hoe, memilih sikap berkecuali apabila ditanya mengenai tawaran jawatan penolong jurulatih kepada Mario Gomez dalam skuad kebangsaan, sekaligus menimbulkan tanda tanya mengenai masa depannya bersama Kedah.

Cheng Hoe disebut-sebut bakal kembali bersama skuad kebangsaan selepas pelantikan Mario Gomez oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, kelmarin.

Cheng Hoe menjelaskan beliau memilih jalan selamat apabila enggan menyatakan sebarang pendirian sama ada akan menerima tawaran itu atau sebaliknya.

Situasi itu ternyata menimbulkan persepsi seolah-olah Cheng Hoe berkemungkinan sedang mempertimbangkan jawapannya untuk bersama skuad negara.

"Saya tidak mahu memberikan sebarang ulasan mengenai perkara ini, saya mahu memberikan tumpuan kepada pasukan kendalian saya," katanya.

Mengenai persiapan Kedah menghadapi suku akhir pertama Piala FA, Cheng Hoe mengakui moral pasukan sedikit terjejas tanpa dua tonggak penting, Amirul Hisyam Awang Kechik dan Sandro Da Silva.

Namun, beliau berharap pemain sedia ada mampu menggantikan peranan yang ditinggalkan mereka berdua selain mengingatkan supaya tidak memandang rendah akan kemampuan PKNP.

"Ia mungkin dilihat sebagai perlawanan yang mudah, tetapi Kedah perlu terus berwaspada dengan ancaman PKNP kerana mereka mampu menghasilkan kejutan."

About Author

Ammar Hakim

Comment