Maniam bangga Azhan,Veenod dipanggil wakili Harimau Malaysia

By Staff Writer 10 March 2017
Maniam bangga Azhan,Veenod dipanggil wakili Harimau Malaysia

Pengendali Selangor, P. Maniam bangga dengan dua pemainnya, Khairul Azhan Khalid dan S. Veenod, yang mendapat panggilan ke skuad kebangsaan untuk aksi persahabatan berdepan Filipina, 22 Mac ini, dan juga Kelayakan Piala Asia berdepan Korea Utara, enam hari selepas itu.

Bagi Maniam, dua pemain itu adalah antara pemain paling konsisten dalam skuad Selangor musim ini selain pertahanan import, Ugo Ukah.

Walaupun The Red Giants kehilangan ramai tonggak utama musim lalu,  Maniam tidak menafikan kelibat Khairul Azhan di gawang dan Veenod  di bahagian tengah adalah antara faktor yang membolehkan mereka kekal berada di kalangan lima pasukan terbaik Liga Super selepas lapan perlawanan.

"Azhan antara penjaga gol terbaik di Malaysia masa kini, dia juga seorang pemain yang bekerja keras. Penting untuk skuad negara memiliki pemain sepertinya," kata Maniam.

Dalam pada itu, Selangor akan menggunakan tempoh rehat sebulan Liga Super untuk memperbaiki jentera serangan pasukan itu yang tampak sedikit merosot dalam beberapa aksi terkini.

Maniam berasa masih terlalu awal untuk berbicara mengenai pemain import dan tempatan baru untuk pintu perpindahan kedua Liga Malaysia, Mei depan, kerana perkara itu memerlukan perbincangan lebih mendalam dengan pihak pengurusan pasukan.

"Saya rasa terlalu awal untuk berbincang soal perpindahan. Ketika ini, daripada aspek pertahanan, kami bermain dengan baik tetapi kami perlu memperbaiki aspek menjaringkan gol," tambahnya.

About Author

Staff Writer

Comment

Read Next

V Shem, Wee Kiong melangkah ke suku akhir

By 10 Mac 2017. 6.50 AM