Malaysia tidak mahu jadi pasukan belasahan

By Ammar Hakim 3 March 2017
Malaysia tidak mahu jadi pasukan belasahan

Pengendali skuad bola sepak pantai negara, Ismail Zakaria, enggan memberi tekanan ke atas pasukannya memburu kemenangan menjelang aksi pembukaan Kejohanan AFC bertemu Afghanistan di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu, esok.

“Sebagai pasukan ‘underdog’, kami perlu memberikan saingan kepada pencabar lain untuk mengelak daripada menjadi pasukan belasahan.

“Malaysia boleh mencabar Afghanistan, Bahrain dan China kerana jurang kualiti semua pasukan ini tidak banyak berbeza, hanya Iran yang jauh di depan.

“Cukup sekadar pemain mempamerkan mutu permainan yang baik. Malah, sokongan padu penyokong tempatan diharapkan dapat menyuntik semangat pasukan ini,” katanya.

Jurulatih berusia 55 tahun itu juga berharap kejohanan ini dapat membuka mata Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk membangunkan sukan itu dengan lebih menyeluruh agar dapat berdiri sama tinggi dengan pasukan lebih hebat.

“Secara realistik, ini peluang terbaik kami menimba pengalaman bertemu lawan lebih hebat yang pernah beraksi dalam Piala Dunia.

“Malaysia berpeluang untuk berada setaraf dengan negara lain kerana memiliki ramai pemain berbakat.

“Ketiadaan liga dan kejohanan untuk bola sepak pantai menyukarkan saya memilih pemain terbaik,” tambahnya lagi.

Selepas bertemu Afghanistan, skuad negara akan melengkapkan aksi Kumpulan A menentang Iran (Ahad), Bahrain (Isnin) dan China (Rabu).

 

About Author

Ammar Hakim

Comment