Malaysia tidak berminat anjur Piala AFF Futsal 2016

By Shaiful Shamsudin 22 October 2016
Malaysia tidak berminat anjur Piala AFF Futsal 2016
"Mustahil untuk Malaysia pula menjadi tuan rumah Piala AFF Futsal 2016," demikian luah Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Yusof Mahadi, berhubung penarikan diri Indonesia sebagai tuan rumah kejohanan berkenaan, bulan depan. 

Terdahulu, Indonesia secara rasmi menarik diri daripada menjadi tuan rumah Piala AFF Futsal kerana tiada persediaan yang secukupnya.

Yusof berkata Malaysia juga tidak mungkin dapat menggantikan negara itu untuk menjadi penganjur pertandingan berkenaan atas alasan yang sama, dan mustahil untuk membuat persiapan dalam masa yang begitu terhad. 

Sehubungan itu, skuad kebangsaan terpaksa menerima keputusan berkenaan meskipun kecewa kerana latihan yang telah dijalankan sejak dua bulan lalu. 

"Kami telah memanggil pemain-pemain untuk berlatih secara intensif di bawah kendalian jurulatih baru, Chiew Chun Yong. 

"Apabila ia dibatalkan, kami berasa amat kecewa. Tapi, kalau nak kata Malaysia akan mengambil-alih, saya fikir jawapan serupa akan diberikan oleh FAM. 

"Waktu yang terlalu singkat menjadi penyebab mengapa kejohanan ini tidak dapat diteruskan," katanya.   

Tambah Yusof, beliau akan berusaha untuk memastikan pasukan negara mendapat pendedahan dengan mengaturkan perlawanan persahabatan bertaraf antarabangsa pada tahun depan sebagai persediaan menjelang temasya Sukan SEA 2017. 

"Bermula bulan Januari tahun depan, kami akan mengadakan Liga Futsal Kebangsaan yang tidak dapat dianjurkan musim ini. 

"Semua pemain harus menggunakan kesempatan di dalam  Liga Futsal Kebangsaan manakala jurulatih boleh memantau pemain baru yang boleh diserapkan bagi menguatkan pasukan negara untuk menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur."

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment