Malaysia perlukan revolusi dalam pengurusan pasukan

By Ammar Hakim 19 December 2016
Malaysia perlukan revolusi dalam pengurusan pasukan

Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B. Sathianathan, melihat trend pasukan menarik diri daripada saingan Liga Malaysia musim depan sebagai petanda perlu ada satu revolusi pengurusan di peringkat negeri atau kelab.

Menurut Sathianathan, masih banyak pasukan dalam Liga Malaysia belum diuruskan secara profesional sepenuhnya, terutama membabitkan soal kewangan dan kebajikan pemain.

Biarpun apa yang terjadi bukan satu perkara positif untuk bola sepak negara, beliau melihat lebih baik pasukan-pasukan berkenaan membuat keputusan sedemikian jika masalah yang sama terus berulang setiap musim.

"Sesiapa yang boleh meneruskan perjuangan, sila teruskan. Kepada mereka yang tidak mampu, boleh beraksi dalam liga amatur. Kami tidak memerlukan banyak pasukan dalam saingan liga profesional," jelas Sathianathan.

Perlis menjadi pasukan terbaru untuk menarik diri daripada saingan Liga Perdana selepas Kelantan berhasrat menarik diri di atas alasan tidak mendapat  penajaan untuk musim depan.

Sementara itu, Sathianathan menyokong cadangan Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengenai kepimpinan baru Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Malah, beliau tidak berdepan sebarang masalah menerima Tan Sri Aseh Che Mat selaku Presiden FAM.

"Kami memiliki Setiausaha Kehormat dalam FAM, tetapi beliau harus mempunyai seorang presiden yang terlibat secara proaktif dan apa yang penting adalah Tan Sri Aseh mampu bekerjasama dengan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim."

About Author

Ammar Hakim

Comment