Malaysia mampu kembali beri saingan kepada Thailand, Vietnam -- Akmal Rizal

By Ammar Hakim 26 March 2017
Malaysia mampu kembali beri saingan kepada Thailand, Vietnam -- Akmal Rizal

Bekas penyerang negara, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, mahu Mario Gomez memastikan skuad kebangsaan mampu menandingi Thailand dan Vietnam terlebih dahulu sebelum memasang impian mencabar pasukan-pasukan handalan di peringkat Asia.

Gomez diumumkan sebagai jurulatih baru Harimau Malaysia dalam sidang media pertama Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, semalam.

Bekas jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT) itu mengambil alih tempat Datuk Ong Kim Swee yang diturunkan pangkat ke skuad bawah 22 tahun negara.

Memuji tindakan drastik Tunku Ismail dalam melakukan perubahan, Akmal bagaimanapun mengharapkan skuad negara kembali digeruni di pentas bola sepak Asia Tenggara dalam jangka masa pendek.

"Apa yang ingin dilakukan oleh TMJ buat pasukan kebangsaan adalah untuk kembali berdaya saing dengan Thailand mahupun Vietnam dalam saingan Asia Tenggara sebelum menjadi antara pasukan terbaik di Asia," katanya.

Tidak memperkecilkan keupayaan pengendali tempatan, Akmal mengakui khidmat jurulatih asing mampu meningkatkan tahap permainan skuad kebangsaan.

"Jurulatih import ini boleh membantu pemain-pemain meningkatkan mutu permainan dengan idea-idea baru."

Pandangan sama disuarakan bekas jurulatih negara, B. Sathianathan, yang turut optimis dengan kemampuan Kim Swee untuk menggalas tugas dalam tempoh singkat bersama skuad projek Sukan SEA 2017.

"Dengan pengalaman beliau meraih pingat emas dalam Sukan SEA serta memahami rentak permainan skuad bawah 22 tahun, ia merupakan satu keputusan yang tepat untuk memilih Kim Swee mengambil alih tugas Frank Bernhardt."

About Author

Ammar Hakim

Comment