Malaysia, Filipina gagal temui sentuhan penyudah

By Ammar Hakim 22 March 2017
Malaysia, Filipina gagal temui sentuhan penyudah

FILIPINA 0 MALAYSIA 0

Hasrat skuad kebangsaan bimbingan Datuk Ong Kim Swee menamatkan badi seri dengan Filipina tidak kesampaian apabila sekali lagi terikat 0-0 dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Memorial Rizal, Manila, malam ini.


Pengendali Harimau Malaysia, Kim Swee, menggunakan formasi 4-3-3 untuk perlawanan ini tatkala Filipina turut menurunkan barisan terkuat mereka.

Tuan rumah memberi tekanan awal kepada Malaysia dan hampir mendahului pada minit ke-17, namun percubaan lemah Javier Patinio terus ke dakapan penjaga gol, Khairul Azhan Khalid.

Selang tiga minit kemudian, giliran Phil Younghusband menguji benteng Malaysia dan sekali lagi Khairul Azhan cemerlang memastikan gawang tidak dibolosi.

Skuad negara kemudian cuba mengimbangi penguasaan lawan dengan beberapa gerakan ke kawasan Filipina pada hujung babak pertama.

Bagaimanapun, benteng Filipina yang diterajui Amani Aguinaldo kekal ampuh sehingga tamat 45 minit pertama.

Babak kedua menyaksikan skuad negara melakukan beberapa pertukaran  taktikal dan pemain dalam usaha mencari jaringan.

Perlawanan kemudian tampak seimbang dengan kedua-dua pasukan sukar menemui tindakan penyudah.

Pemain gantian negara, S. Veenod, memiliki peluang baik meraih jaringan di penghujung perlawanan, namun gagal menghasilkan gol kemenangan buat Malaysia.

"Ia adalah keputusan yang adil buat kami, sukar untuk berdepan Filipina, mereka mengawal permainan dalam separuh masa pertama.

"Kami meningkatkan mutu permainan dalam separuh masa kedua, ia adalah satu perlawanan yang sama rata," jelas Kim Swee.

Kredit imej: FB Harimau Malaysia

About Author

Ammar Hakim

Comment