Malaysia enggan ambil mudah kemampuan Papua New Guinea

By Amirul Azreen 14 November 2016
Malaysia enggan ambil mudah kemampuan Papua New Guinea

Penyerang negara, Safee Sali dan pemain pertahanan Shahrom Kalam, mengakui Papua New Guinea merupakan lawan kuat walaupun pasukan itu dibelasah Iran 8-1 dalam aksi persahabatan antarabangsa baru-baru ini.

Skuad negara akan berentap dengan Papua New Guinea untuk perlawanan persahabatan antarabangsa "A" di Stadium Shah Alam petang ini.

Ia merupakan ujian terakhir buat pengendali negara, Datuk Ong Kim Swee, untuk menguji pemainnya sebelum skuad akhir 23 pemain berangkat ke Myanmar bagi menghadapi Piala Suzuki AFF 2016.

Safee menegaskan perlawanan menentang pasukan gergasi Asia seperti Iran tidak boleh dijadikan ukuran walaupun ia membabitkan kekalahan yang besar.

"Kalau mengikut keputusan kita tidak boleh menganggap pasukan itu lemah kerana dalam bola sepak, apa sahaja boleh berlaku.

"Sekalipun kami bermain dengan baik dalam separuh masa pertama tetapi belum tentu pada babak kedua momentum itu mampu diteruskan," katanya.

Hakikat itu turut diakui Shahrom yang beraksi ketika skuad negara tewas 0-2 kepada Papua New Guinea ketika Siri Jelajah Oceania, Jun lalu.

Pertahanan Selangor ini sebaliknya berasakan skuad negara perlu berwaspada untuk meraih keputusan positif sebagai motivasi ke Piala Suzuki AFF nanti.

"Kita tidak boleh bandingkan Iran dengan Malaysia kerana mereka berada jauh di hadapan tetapi berdepan Papua New Guinea ini, kita tidak boleh ambil mudah.

"Ini kerana mereka memiliki fizikal yang baik tetapi saya jangkakan perlawanan yang seimbang," jelasnya.

 

About Author

Amirul Azreen

Comment