Malaysia beri lampu hijau, teruskan aksi di Myanmar

By Staff Writer 25 November 2016
Malaysia beri lampu hijau, teruskan aksi di Myanmar

Kabinet memberi lampu hijau untuk Harimau Malaysia meneruskan cabaran dalam Piala Suzuki AFF, dengan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, berkata keputusan itu dibuat bagi mengelak sebarang masalah terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Mesyuarat jemaah menteri di Putrajaya hari ini memutuskan Malaysia tidak perlu menarik diri walaupun kecewa dengan konflik Rohingya di Myanmar.

Beberapa faktor diambil kira, termasuk risiko FAM digantung selain sikap berdiam diri negara Asia Tenggara lain.

"Kabinet telah membuat keputusan agar pasukan kita terus selesaikan misi di Myanmar," jelas Khairy.

"Seterusnya tindakan diplomatik akan diumumkan nanti oleh Kementerian Luar Negeri."

Khairy juga memberi lampu hijau untuk semua persatuan sukan kebangsaan meneruskan sebarang aktiviti membabitkan Myanmar.

Ini termasuk aksi persahabatan skuad B-21 menentang Myanmar, bulan depan.

"Buat masa ini, tiada apa-apa arahan daripada segi sekatan terhadap perlawanan sukan. 

"Kabinet telah membuat keputusan untuk kita menyatakan pendirian negara Malaysia dan tindakan selanjutnya melalui Kementerian Luar Negeri," tambahnya lagi.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, menarik nafas lega terhadap sokongan yang diberikan kerajaan.

"Bagi pihak FAM, saya ucapkan terima kasih kepada Kabinet Malaysia yang telah memutuskan untuk membenarkan Harimau Malaysia untuk terus bermain pada malam esok berdepan Myanmar," ujarnya.

"Ini satu inspirasi kepada pasukan untuk menewaskan Myanmar. Ini satu sokongan daripada pihak kerajaan untuk melihat skuad negara layak ke separuh akhir Piala Suzuki AFF 2016."

About Author

Staff Writer

Comment