Majlis Memperkenalkan Pasukan Terengganu 2017 bakal tarik 20,000 peminat

By Ammar Hakim 11 January 2017
Majlis Memperkenalkan Pasukan Terengganu 2017 bakal tarik 20,000 peminat

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, menjangka lebih 20,000 peminat akan memeriahkan Majlis Memperkenalkan Pasukan Hoki dan Bola Sepak Terengganu 2017, yang akan bermula esok.

“Acara tiga hari dua malam yang berkonsepkan karnival ini adalah inisiatif rakan sukan negeri, Kobertbell Marketing (M) Sdn. Bhd., dan kerajaan negeri yang akan melibatkan pelbagai aktiviti sampingan.

“Tujuan utama ialah untuk menghimpunkan penggiat dan peminat sukan selain melonjakkan nilai komersial industri sukan di negeri ini melalui gerai jualan jersi, pameran, pertandingan memancing, klinik bola sepak, busking dan banyak lagi.

“Dijangkakan lebih 20,000 peminat bola sepak dan hoki Terengganu akan hadir sepanjang tiga hari karnival itu,” katanya.

Menurut Ahmad Razif, yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), kemuncak karnival itu ialah pelancaran jersi baharu pasukan T-Team, Terengganu dan Terengganu Hockey Team (THT), Sabtu ini.

“Selain melancarkan jersi baharu tiga pasukan itu, juga akan diadakan ialah perlawanan amal menemukan Legenda Terengganu menentang Legenda Malaysia.

“Pasukan T-Team dan Terengganu juga akan membuat perhitungan dengan naib juara Liga Singapura, Tampines Rovers.

“Hampir separuh daripada 15,000 tiket berharga RM10 setiap satu, sudah terjual dan hasil kutipan akan disumbangkan ke Tabung Solidariti Rohingya, Yayasan Diraja Sultan Mizan, Tabung Amanah Anak Yatim Negeri, Tabung Darul Iman dan Persatuan Bekas Pemain Terengganu,” tambahnya.

About Author

Ammar Hakim

Comment