Latihan bina pasukan bentuk keserasian pemain

By Staff Writer 4 November 2016
Latihan bina pasukan bentuk keserasian pemain

Konsep latihan 'membina pasukan' dianggap sebagai pilihan terbaik untuk skuad negara dalam usaha untuk mencari keserasian di antara pemain menjelang saingan Piala AFF yang akan membuka tirai pertengahan bulan ini.

Ketika Singapura memilih Qatar, Vietnam memilih Korea Selatan sementara Myanmar memilih Eropah sebagai destinasi akhir persiapan menjelang saingan Piala AFF, skuad negara lebih menumpukan kekuatan dalaman pemain menerusi aktiviti selama dua hari di Port Dickson.

Cetusan idea daripada Setiausaha Agung, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin, pada asalnya memilih kem komando di Mersing untuk memperkuat jati diri pemain negara selama lapan hari, namun perancangan itu ditukar pada saat akhir.

Bagi pemain negara, perubahan sesi latihan dianggap sebagai pilihan tepat.

Ditambah dengan tempoh waktu yang singkat, sesi latihan sebegini lebih memudahkan setiap pemain mengenali sesama mereka dengan lebih mendalam, apatah lagi skuad Harimau Malaysia diwakili majoriti muka baharu.

Pemain tengah, Baddrol Bakhtiar, melihat ia sebagai langkah bijak dalam mencapai persefahaman di atas padang.

"Aktiviti ini menguatkan lagi komunikasi di antara pemain. Jadi, keserasian kami mungkin akan meningkat menjelang saingan Piala AFF nanti," jelasnya.

Penyerang kebangsaan, Zaquan Adha Abdul Razak, turut melihat ia aspek penting susulan setiap pemain lebih kerap menghabiskan masa bersama pasukan negeri atau kelab.

"Perkara ini bagus kerana kami jarang bersama sebelum mewakili skuad negara kerana lebih banyak dengan kelab masing-masing.

"Latihan bina pasukan ini membuatkan kami lebih mengenali satu sama lain," ujarnya.

About Author

Staff Writer

Comment