Kuching FA kutip tiga mata dalam aksi sulung Liga FAM

By Ammar Hakim 20 February 2017
Kuching FA kutip tiga mata dalam aksi sulung Liga FAM

Juara Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) 2016, Kuching FA, memulakan saingan dalam Liga FAM dengan langkah kanan apabila menumpaskan kelab Selangor, PBMM-PBSM FC, 2-1 di Stadium Negeri petang semalam.

Kuching FA yang dipimpin Helearn Wilfred mendapat suntikan semangat apabila turut turun menyaksikan pertemuan sulung itu ialah Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.
    
Di hadapan lebih 500 penyokong yang hadir, penyerang, Sufizal Ismail, muncul wira Kuching apabila meledakkan dua jaringan pada minit ke-32 dan 41 bagi membolehkan tiga mata penuh diraih.
    
Gol sagu hati pelawat disumbang Yusaini Hafiz Che Saad pada minit ke-76.
   
Mengulas pertemuan tersebut, Helearn berkata kemenangan itu amat penting sebagai pembakar semangat anak-anak buahnya bagi mengharungi baki liga.
   
"Mereka bermain dengan begitu ghairah dan menghalakan serangan bertali arus kepada lawan yang lebih berpengalaman.

"Biarpun mendahului sepanjang 60 minit perlawanan, pasukan agak hilang fokus pada separuh masa kedua kerana faktor keletihan.

Kecergasan katanya, menjadi isu besar pasukannya kerana kebanyakan pemainnya bertaraf amatur.

"Mereka bukan profesional dan latihan hanya diadakan sekitar sejam selepas waktu bekerja jam 5 petang.

"Ia bukan alasan tetapi kami perlu menerima hakikat ini. Jadi, selepas ini kami perlu bekerja lebih gigih untuk mengatasinya."

Sementara itu, pengurus pasukan, Fazzrudin Abdul Rahman, berkata kemenangan ini amat penting untuk membawa pasukannya melangkah lebih jauh.

"Saya berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan kerana ia membuktikan bahawa mereka layak bermain dalam Liga FAM dan mampu untuk memberi saingan kepada pasukan lain."

About Author

Ammar Hakim

Comment