Kualiti, pengalaman pisahkan JDT dengan Sarawak -- David

By Ammar Hakim 1 March 2017
Kualiti, pengalaman pisahkan JDT dengan Sarawak -- David

"Ia perbezaan kualiti di antara pemain dua pasukan. Lawan menang kerana mereka menggunakan pengalaman dalam menguasai permainan," kata David Usop, mengulas kekalahan 2-0 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) malam tadi.

Tetapi, katanya, tumpuan juga perlu diberikan kepada beberapa keputusan pengadil, S. Sittharajan, yang telah menukar rentak permainan.

"Misalnya gol pertama JDT pada minit kelapan seharusnya diberikan kelebihan kepada penjaga gol yang dihalang terlebih dahulu.

"Tetapi mungkin kedudukan dan sudut pengadil pada waktu itu menafikan beliau melihat halangan yang dilakukan, yang menyebabkan bola muntahan mudah dirembat masuk Gonzalo Cabrera."

Gol ini, katanya, amat menyakitkan kerana ia menghadirkan tekanan dalam baki aksi.

"Sarawak sebelum insiden itu mampu untuk menjaringkan gol tetapi tuah tidak menyebelahi mereka kerana pelbagai percubaan yang disasar, sering diselamatkan penjaga gawang, Mohd Izham Tarmizi."

Biarpun gembira dengan saingan yang diberi, namun David tidak menolak penguasaan bahagian tengah oleh Safiq Rahim turut berperanan mengawal permainan.

"Ia berfungsi dengan cukup baik dalam merencanakan serangan hingga menyebabkan pemain kami keletihan kerana terpaksa berlari dan berlari.

"Akibatnya, apabila kami mendapat bola, dengan mudah pula kami melepaskannya kepada pihak lawan.

"Itulah bezanya kualiti pemain kami dan JDT," katanya.

Akan tetapi, katanya, pemain Sarawak perlu diberikan kredit kerana bermain dengan sepenuh hati.

"Mereka beraksi dengan semangat waja hingga wisel terakhir. Itu perbezaannya.

Akui David, beberapa pemainnya gagal menyerlah, namun mereka tidak patah semangat untuk berhabis-habisan.

"Jika semangat ini disertai dengan keserlahan seperti biasa, rentak permainan juga pasti akan berubah."

Bagaimanapun, katanya, permainan semalam adalah pengalaman yang amat berharga bagi pasukannya kerana dengan adanya pasukan yang kompetitif seperti inilah, pasukan "muda" seperti Sarawak dapat meningkat.

About Author

Ammar Hakim

Comment