Kriteria Liga 1MCC wajar dijadikan contoh

By Staff Writer 19 March 2017
Kriteria Liga 1MCC wajar dijadikan contoh

Kriteria Liga 1MCC yang hanya menerima pasukan berdaftar dengan suruhanjaya sukan serta pasukan yang membabitkan pembangunan pemain, melibatkan kategori bawah 12, 14 dan 16, wajar dijadikan contoh untuk perkembangan bola sepak bagi jangka masa panjang.

Perlancaran Liga 1MCC terus menyaksikan hasrat besar ibu-bapa dan pemain yang memiliki impian untuk berbakti buat negara suatu ketika nanti.

Liga 1MCC sudah pun bermula sejak Januari lalu dan dijangka berakhir September depan.

Bagi ketua jurulatih, Jordan Humphrey, ia adalah program sempurna bagi mencari bakat semula jadi yang dimiliki kanak-kanak yang akan diketengahkan dari semasa ke semasa, sekaligus menyumbang produk terbaik untuk negara.

"Kanak-kanak yang ada hari ini adalah dari Liga Divisyen 1 dan 2 serta bawah 12 tahun.

"Kebanyakan daripada mereka bermain hampir setiap minggu. Format ini akan memastikan pemain mendapat pendedahan berterusan," jelasnya.

Bagi pengasas 1MCC, Datuk Chan Tien Ghee, penganjuran ini semakin diterima dan penyertaan saban tahun menyaksikan peningkatan.

"Apa yang penting, kami mahu melahirkan bakat pada usia muda. Ini semua adalah sebahagian projek pembangunan untuk negara," ujarnya.

Sebanyak 92 pasukan bertanding dalam Liga 1MCC bagi zon Lembah Klang.

About Author

Staff Writer

Comment