Kongres FAM: Kedudukan saya belum selamat! – Yusoff Mahadi

By Ammar Hakim 24 March 2017
Kongres FAM: Kedudukan saya belum selamat! – Yusoff Mahadi

"Belum selamat lagi," iItu pengakuan calon timbalan presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Yusoff Mahadi, walaupun Tunku Ismail Sultan Ibrahim menang tanpa bertanding bagi jawatan kerusi panas presiden badan induk itu.

Yusoff merupakan individu penting yang membawa Tunku Ismail memegang jawatan presiden FAM.

Bermula dengan usahanya memujuk Tunku Ismail tahun lalu, jawatan timbalan presiden tampak menjadi miliknya susulan penarikan diri Tan Sri Annuar Musa selaku calon presiden.

Begitupun, Yusoff berpandangan sebaliknya apabila berasakan saingan tiga penjuru merebut jawatan itu kini terbuka.

"Peluang masih sama rata. Apabila presiden sudah dipilih apabila Tan Sri Annuar Musa menarik diri, semua perwakilan mungkin mengubah semula pilihan mereka untuk memilih timbalan presiden," katanya.

Yusoff akan dicabar Datuk Seri Afandi Hamzah yang tampil mempertahankan jawatan dan Datuk Seri Subahan Kamal, yang kembali merebut kerusi nombor dua FAM itu.

"Keutamaan saya adalah untuk mendapatkan calon yang tepat untuk mengendalikan FAM, sasaran kedua sudah tidak lagi menjadi keutamaan."

Menyerahkan sepenuhnya kepada 39 perwakilan untuk menentukan nasibnya, Yusoff mengakui impiannya sudah tercapai dengan memastikan Tunku Ismail selaku presiden FAM.

Sementara itu, Setiausaha Agung, Persatuan Bola Sepak Malaysia, Datuk Hamidin Mohd Amin, mengesahkan sudah menerima surat rasmi penarikan diri Annuar dan Datuk Zainol Fadzi Paharuddin, masing-masing bagi kerusi presiden dan naib presiden, hari ini.

About Author

Ammar Hakim

Comment