KLHC tagih bisa Muhammad Razie

By Ammar Hakim 18 February 2017
KLHC tagih bisa Muhammad Razie

Kelab Koki Kuala Lumpur (KLHC) mengharapkan kebangkitan semula pakar pukulan sudut penalti, Muhammad Razie Abd Rahim, yang bergelut untuk menjaringkan gol ketika berdepan Terengganu Hockey Team (THT), merebut kejuaraan Liga Hoki Malaysia (LHM), esok.

Razie masih memerlukan masa untuk mengembalikan ketajaman sebenar sejak menamatkan kursus latihan asas inspektor polis, dua minggu lalu.

Pertahanan ini hanya meledak dua gol dalam empat perlawanan disertainya musim ini.

Malah, dia gagal menjaringkan gol dalam empat percubaan melalui pukulan sudut penalti ketika KLHC menewaskan Universiti Kuala Lumpur 3-1, semalam.

"Saya semakin hampir mendapatkan sentuhan, cuma kekurangan tuah ketika melakukan pukulan sudut penalti. Saya berharap dapat memberikan yang terbaik dalam perlawanan akan datang," ujar Razie.

Pertembungan KLHC dan THT di Stadium Hoki Kuala Lumpur esok akan menentukan pasukan yang bakal menjuarai liga.

Peluang lebih berpihak kepada THT dengan hanya perlu sekurang-kurangnya seri untuk meraih kejuaraan buat kali keempat berturut-turut.

"Saya lebih senang jika beraksi untuk mencari kemenangan. Jika kami bermain untuk seri, pasukan lawan masih mampu menghasilkan kejutan ke atas kami," kata kapten KLHC, Sukri Mutalib.

"Setiap pemain sudah bersedia menghadapi perlawanan ini, saya berharap untuk mendapatkan keputusan yang memihak kepada kami," jelas pemain import KLHC, Casey Hammond.

About Author

Ammar Hakim

Comment