Kim Swee yakin dengan kemampuan pemain serap tekanan

By Amirul Azreen 25 November 2016
Kim Swee yakin dengan kemampuan pemain serap tekanan

Jurulatih negara, Datuk Ong Kim Swee, mahu anak buahnya bijak menyerap tekanan tuan rumah, Myanmar, apabila kedua-dua pasukan berentap untuk perlawanan terakhir Kumpulan B, Piala Suzuki AFF esok.

Selepas mengharungi cabaran beraksi dalam cuaca panas, pemain negara berdepan pula dengan rintangan beraksi di hadapan ribuan penyokong tuan rumah.

Sudah pasti, Stadium Thuwanna yang berkapasiti 32,000 penonton akan dibanjiri penyokong Myanmar.

Tatkala ia akan menguji kekuatan mental pemain dalam tempoh 90 minit yang dijangka genting, Kim Swee optimis terhadap kemampuan pemainnya untuk berdepan ranjau itu.

"Di Malaysia, pemain saya sudah biasa beraksi di hadapan ribuan penyokong.

"Saya percaya mereka mampu menghadapi tekanan itu. Yang paling penting, pemain perlu fokus dengan tugas masing-masing.

"Saya harap pemain akan cergas sepenuhnya dan saya tidak sabar untuk melihat bagaimana pemain saya menghadapi cabaran ini," jelasnya.

Sementara itu, pengendali Myanmar Gerd Zeise, membayangkan pasukannya akan menampilkan corak permainan menyerang selepas beliau mengakui tiga mata penuh menjadi buruan mereka.

"Sukar untuk beraksi dengan mengharapkan kutipan mata, saya hanya akan menyuruh pemain saya untuk turun dengan corak menyerang habis-habisan.

"Jika saya meminta mereka untuk mengutip satu mata, keazaman mereka akan menurun, saya tidak mahu perkara itu berlaku," ujarnya.

 

About Author

Amirul Azreen

Comment