Kim Swee serah nasib kepada pucuk pimpinan baru FAM

By Staff Writer 17 March 2017
Kim Swee serah nasib kepada pucuk pimpinan baru FAM

Pengendali skuad Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee, tetap fokus untuk aksi persahabatan berdepan Filipina pada 22 Mac ini dan enggan terlalu memikirkan spekulasi berhubung masa depannya bersama skuad negara. 

Bagi Kim Swee, dia menyerahkan kepada pucuk pimpinan baru Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang akan dipilih ahli gabungan negeri dalam kongres pemilihan badan induk itu, 25 Mac ini, dalam menentukan masa depannya. 

Kim Swee turut menegaskan, jika aksi dengan Filipina benar adalah tugas terakhirnya sebagai pengendali negara, dia tetap mahu melakar keputusan positif.

"Apa jua keputusan selepas pemilihan ini, saya harus terima sama ada ini perlawanan terakhir atau tidak. 

"Itu terpulang kepada pihak pengurusan. 

"Saya di sini adalah untuk memberi fokus kepada perlawanan menentang Filipina," ujarnya. 

Sebelum ini, calon Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, pernah memberi bayangan bahawa bekas pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Mario Gomez, akan mengambil alih skuad kebangsaan. 

Dalam pada itu, Kim Swee berpuas hati dengan tahap kecergasan Farizal Harun dan Hadin Azman yang melaporkan diri untuk kem latihan pusat hari ini, susulan tugasan Piala AFC bersama Felda United, kelmarin. 

"Perkara positifnya, mereka hadir melaporkan diri tanpa kecederaan. 

"Saya difahamkan mereka telah melakukan proses pemulihan selepas perlawanan di Filipina, tempoh hari. 

"Ini membenarkan mereka untuk menjalani latihan bersama kami hari ini. 

"Tetapi kami tetap mengambil langkah berwaspada kerana mereka baru beraksi dalam tempoh 48 jam," tambahnya lagi. 

About Author

Staff Writer

Comment