Kim Swee: "Saya gagal!"

By Ammar Hakim 27 November 2016
Kim Swee:

"Saya gagal!", itu pengakuan pengendali negara, Datuk Ong Kim Swee, selepas Malaysia gagal ke separuh akhir Piala Suzuki AFF 2016 susulan kekalahan 0-1 kepada Myanmar, malam tadi.

Skuad negara berdepan misi hidup mati dalam aksi terakhir Kumpulan B susulan kecundang 0-1 kepada Vietnam, Rabu lalu.

Keputusan seri tidak menjamin kemaraan Malaysia, sebaliknya hanya kemenangan ke atas pasukan tuan rumah akan membawa mereka ke separuh akhir.

Namun, misi itu gagal direalisasikan pemain negara apabila dimusnahkan David Htan yang meledak gol kemenangan Myanmar pada minit ke-88.

Ia sekali gus menyaksikan Kim Swee gagal mencapai indeks prestasi utama (KPI) yang ditetapkan kepadanya untuk layak ke perlawanan akhir kejohanan ini.

"Ini merupakan satu kegagalan kerana saya telah diberikan tanggungjawab untuk memenangi kejohanan ini, saya perlu melihat semula setiap kesilapan yang telah dilakukan dan cuba untuk memperbaikinya," kata Kim Swee.

Sementara itu, pengendali Myanmar, Gerd Zeise, menegaskan pasukannya layak memenangi perlawanan selepas dua peluang terbaik menerusi Aung Thu pada babak pertama gagal menemui jaringan.

"Sebenarnya, pasukan saya memiliki banyak peluang, namun gagal menyempurnakannya. Tetapi ini merupakan satu perlawanan yang menarik dan kami berjaya meraih kemenangan penting dalam misi ke separuh akhir," katanya.

Sementara itu, penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat, memohon maaf kepada peminat di atas kegagalan mereka melunaskan misi awal layak ke separuh akhir.

"Saya agak kecewa dengan keputusan ini, kami telah cuba yang terbaik dalam perlawanan ini tetapi akhirnya saya bolos di minit-minit terakhir perlawanan, saya memohon maaf kerana gagal membawa Malaysia ke separuh akhir," jelas Khairul Fahmi.

Penyerang negara, Safee Sali, pula mengakui kecewa kerana gagal membantu pasukannya menewaskan Myanmar selepas hampir menghasilkan gol ketika dia dimasukkan.

"Semua pemain telah bermain dengan sebaik mungkin, tetapi dalam bola sepak, apa sahaja boleh berlaku. Myanmar memiliki kelebihan di laman sendiri dan menyempurnakan peluang untuk memenangi perlawanan," kata Safee.

About Author

Ammar Hakim

Comment