Kim Swee pertaruh pemain sedia ada tanpa pengganti Khuzaimi

By Shaiful Shamsudin 12 November 2016
Kim Swee pertaruh pemain sedia ada tanpa pengganti Khuzaimi
Jurulatih negara, Datuk Ong Kim Swee, mengesahkan tidak akan melakukan pertukaran pemain meskipun pemain pertahanan, Khuzaimi Piee, bakal digugurkan ekoran kecederaan menjelang Piala AFF Suzuki bulan ini. 

Khuzaimi ditimpa kecederaan hamstring ketika perlawanan latihan menentang skuad bawah 22 tahun (B-22) negara, semalam. 

Kecederaan itu diakui serius dan secara tidak langsung memberi kesukaran buat Kim Swee memandangkan beliau hanya mempunyai Nazirul Naim Che Hashim di posisi pertahanan kiri. 

Namun, Kim Swee enggan cepat melatah untuk memanggil pemain lain sebagai pengganti apabila beliau masih menaruh kepercayaan terhadap pemain sedia ada. 

"Kami akan menghantar Khuzaimi melakukan ujian imbasan pada hari Isnin nanti. 

"Buat masa ini, masih tiada sebarang penggantinya. Walaupun kekurangan seorang pemain bek kidal semula jadi, saya percaya pemain-pemain sedia ada mampu menggalas tugas sebagai pertahanan kiri," ujarnya. 

Berikutan itu, Kim Swee mungkin akan memikirkan seorang pemain sahaja lagi untuk digugurkan selepas pemain tengah, Nasir Basharuddin, sah diketepikan ekoran kecederaan. 

Ketika ini, pemain sayap, Safawi Rasid, tampak berada dalam keadaan kurang memuaskan susulan tidak beraksi menentang skuad B-22 negara. 

"Safawi mengalami sedikit kecederaan. Saya tidak mahu menurunkan Safawi (menentang B-22 negara) berikutan faktor cuaca dan keadaan padang yang begitu lembut, kemungkinan risiko yang cukup tinggi untuk menurunkannya semalam. 

"Jadi kecederaannya bukan sesuatu yang serius."

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment