Kim Swee optimis cipta keputusan positif bertemu Singapura

By Jannah Ali 6 October 2016
Kim Swee optimis cipta keputusan positif bertemu Singapura
Pengendali kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee, memberi jaminan barisan pemain negara komited dalam memburu keputusan positif dalam aksi persahabatan antarabangsa berdepan Singapura esok, sekali gus bertekad untuk bangkit daripada kekalahan 3-0 di tangan Indonesia sebelum ini.

Pengendali Singapura, V Sundramoorthy, pula enggan memandang mudah cabaran Malaysia.

Keyakinan Kim Swee adalah berlandaskan komitmen tinggi pemain ketika menjalani sesi latihan.

Setiap pemain kini menggandakan usaha ketika latihan bagi perebutan tempat dalam kesebelasan utama.

"Sudah tentu, seperti yang anda tahu, ada banyak keresahan yang timbul ekoran kekalahan kami kepada Indonesia.

"Saya percaya pemain menyedari akan tanggungjawab mereka dan saya berharap esok kami akan bermain dengan lebih baik seperti bagaimana kami beraksi menentang Timor Leste. 

"Selepas beberapa hari menjalani latihan, bersama-sama pemain muda dan juga muka-muka baru, mereka begitu bersemangat dan semuanya cuba untuk membuktikan sesuatu dan berusaha untuk memenangi hati saya, jadi itu merupakan satu tanda yang cukup baik," jelas Kim Swee.

Dalam pada itu, Sundramoorthy tetap menghormati Malaysia walaupun skuad kendalian Kim Swee kini lebih muda dari segi purata umur pemain berbanding pasukan di bawah kendalian Dollah Salleh pada 2014.

"Ia boleh menjadi lebih baik atau sebaliknya. Pemain senior ada yang bersara manakala pemain muda pula cuba untuk membuktikan kemampuan mereka apabila diberikan kepercayaan untuk beraksi di pentas tertinggi.

"Kami akan bermula dengan 11 lawan 11 pemain, dan saya berpendapat ia bakal menjadi satu perlawanan yang seimbang," kata Sundramoorthy.

Malaysia telah berdepan Singapura sebanyak lapan kali dan hanya berjaya mencatat satu kemenangan di Singapura.

Kali terakhir kedua-dua pasukan beraksi dalam perlawanan kompetitif ialah dalam Piala Suzuki AFF dua tahun lalu apabila kemenangan berpihak kepada skuad negara.

About Author

Jannah Ali

Comment