Kim Swee mahu lihat aksi positif berdepan PNG

By Ammar Hakim 13 November 2016
Kim Swee mahu lihat aksi positif berdepan PNG

Jurulatih skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee, mahu melihat perubahan positif ditunjukkan anak buahnya dalam aksi menentang Papua New Guinea esok -- perlawanan pemanas badan terakhir sebelum saingan pembuka tirai Piala AFF Suzuki, bertemu Kemboja, Ahad depan.

Segala-galanya bergantung dalam 90 minit penting, Kim Swee menagih perubahan ketara daripada skuadnya sebelum berangkat ke Yangon, Myanmar nanti.

Ketika ramai mempersoalkan sejauh mana perubahan mampu dilakukan Harimau Malaysia, Kim Swee menegaskan bukan masa untuk dia terlalu memikirkan kekuatan lawan yang bakal ditemui di Stadium Shah Alam itu.

Perancangan Kim Swee lebih terarah kepada persediaan sebelum bertemu Kemboja, di mana kesebelasan yang beraksi esok adalah bayangan kesebelasan utama untuk bertemu Kemboja nanti.

"Saya perlu melihat daripada corak perlawanan kami untuk berdepan Kemboja. Objektif utama perlawanan persahabatan berdepan Papua New Guinea adalah keberkesanan formasi kami," kata Kim Swee.

Sudah pasti aksi terakhir skuad negara sebelum ke Myanmar menjadi perhatian pemerhati bola sepak negara, apatah lagi aksi perlawanan terdahulu bertemu Papua New Guinea, Jun lalu, Malaysia tewas 2-0.

Berbeza pendapat daripada jurulatih Papua New Guinea, Flemming Serritslev, yang mengakui berhadapan dengan kesukaran untuk membentuk pasukan sebelum turun ke Malaysia.

Serritslev berkata dia gagal mengekalkan barisan yang sama ketika menewaskan Malaysia 2-0 Jun lalu, selain turut mengharapkan keberkesanan empat pemain muda mereka.

“Tiada kejohanan yang berkualiti di negara kami tetapi tidak dapat dibandingkan dengan aksi perlawanan antarabangsa. Ini merupakan masalah utama kami,” kata Serritslev.

Malaysia akan menentang Papua New Guinea dalam perlawanan persabahatan 'A' di Stadium Shah Alam, esok, jam 3 petang.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini, mengumumkan penonton tidak dikenakan bayaran tiket untuk menyaksikan perlawanan tersebut.

Lapan negara Asia Tenggara akan bersaing dalam Piala AFF Suzuki di Myanmar dan Filipina, 19 November-17 Disember ini. 

About Author

Ammar Hakim

Comment