Kim Swee kekalkan pemain utama bertemu Kemboja

By Staff Writer 20 November 2016
Kim Swee kekalkan pemain utama bertemu Kemboja
Pengendali negara, Datuk Ong Kim Swee, akan mengekalkan hampir semua kesebelasan utamanya bagi perlawanan pertama Kumpulan B, menentang Kemboja di Stadium Thuwunna, Yangon, petang ini.

Skuad negara menggunakan formasi 4-4-2 ketika aksi persahabatan antarabangsa menentang Papua New Guinea, Isnin lalu.

Pendekatan itu tampak memberi impak positif apabila pemain negara berjaya menguasai permainan untuk mencatatkan kemenangan 2-1.

Tatkala khidmat Ahmad Hazwan Bakri dan Darren Lok sekali lagi bakal ditagih di jentera serangan, Baddrol Bakhtiar pula menjadi sandaran di bahagian tengah dan Khairul Fahmi Che Mat selaku benteng akhir.

"Kami perlu bersedia dalam semua perkara kerana setiap pasukan mempunyai strategi yang tersendiri. 

"Ketika perlawanan berlangsung, ia terpulang kepada kami untuk menukar momentum perlawanan serta corak permainan.

"Seperti yang telah saya katakan, kami perlu bersedia dengan apa sahaja keputusan nanti," jelas Kim Swee.

Skuad Kemboja pula tampak misteri, namun kelibat penyerang, Chan Vhathanakka, bukan lagi rahsia walaupun masih cetek pengalaman.

Berusia 22 tahun, Pemenang Kasut Emas Liga Kemboja dua tahun berturut-turut itu, akan menjadi taruhan utama buat Kemboja yang tampil sebagai pendatang baru kejohanan.

"Pemain saya tidak pernah beraksi dalam kejohanan ini, jadi saya sedikit risau tentang pengalaman pemain-pemain saya.

"Jika kami mempunyai keyakinan, kami pasti akan mempamerkan aksi yang terbaik," ujar jurulatih Kemboja, Lee Tae Hoon.

About Author

Staff Writer

Comment