Kim Swee beri peluang kepada muka baru lawan Myanmar

By Staff Writer 24 November 2016
Kim Swee beri peluang kepada muka baru lawan Myanmar

Pengendali negara Datuk Ong Kim Swee, akan menyuntik nafas baru kepada pasukannya bagi misi wajib menang ke atas Myanmar dalam perlawanan terakhir Kumpulan B, Piala AFF Suzuki 2016, Sabtu ini.

Kim Swee yang ditemu bual secara eklusif oleh wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam, mendedahkan akan menurunkan dua muka baharu yang tidak beraksi dalam dua perlawanan awal saingan kumpulan.

"Kemungkinan besar ada satu atau dua pemain yang tidak dapat beraksi dalam dua perlawanan pertama, akan diturunkan.

"Ini terpulang kepada latihan nanti di mana saya akan menilai tahap kecergasan pemain yang telah beraksi dalam dua perlawanan pada jam 3.00 petang," jelasnya.

Pengendali berusia 45 tahun itu turut memuji aksi anak buahnya yang mempamerkan keazaman meskipun tewas 1-0 berdepan Vietnam semalam.

"Menentang Vietnam merupakan perlawanan yang terbaik kerana pemain mengikut segala arahan dan menunjukkan keazaman tinggi untuk beraksi dalam senario yang cukup mencabar," ujarnya.

Dalam misi mesti menang berdepan pasukan tuan rumah, Myanmar, Kim Swee enggan mendedahkan taktikal yang bakal diterapkan, namun mahu memastikan setiap aspek permainan akan diperkuatkan demi menjamin kemenangan, sekaligus menemani Vietnam mara ke peringkat separuh akhir.

"Saya bukan berkata yang kami akan menyerang selama 90 minit tetapi kami akan mengambil kira pelbagai aspek, antaranya ketika menyerang, barisan pertahanan kekal stabil dan konsisten," tambahnya.

"Yang penting pemain perlu membaca bila masanya perlu melakukan serangan bagi mendapatkan gol.

"Apa pun berdepan Myanmar nanti, pemain perlu bersabar dan mengikut apa yang dirancangkan dan pemain tidak boleh lalai."

 Anda juga boleh mendapat berita ini melalui Stadium Astro app. Muat turun sekarang https://www.stadiumastro.com/ms/mobile-app

About Author

Staff Writer

Comment