Kim Swee bakal berguru di QPR

By Shaiful Shamsudin 3 February 2017
Kim Swee bakal berguru di QPR
Pengendali Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee, bersama penolongnya, Brad Maloney, bakal mengikuti program penempatan selama sebulan bersama kelab Liga Kejuaraan Inggeris, Queen's Park Rangers (QPR), dari 7 Februari hingga 8 Mac depan. 

Di QPR, Kim Swee dan Maloney berpeluang meninjau sendiri sesi latihan skuad utama kelab itu di Harlington di bawah kendalian Ian Holloway dan barisan kejurulatihannya. 

Jurulatih kebangsaan itu turut berpeluang melihat operasi akademi dan juga program akar umbi kelab itu. 

Kim Swee menyambut baik peluang yang diberikan dan percaya akan mendatangkan manfaat kepada skuad kebangsaan. 

"Ini pasti akan memberi satu pengalaman dan pendedahan berguna kepada saya dan Brad di peringkat kejurulatihan saya. 

"Saya harap dapat menggunakan beberapa kaedah yang dipelajari nanti ketika bersama skuad kebangsaan," ujarnya. 

Skuad negara akan berkumpul pada 19 Mac untuk aksi kelayakan Piala Asia berdepan Korea Utara dan penolong jurulatih, Hassan Sazali Waras, akan bertindak memantau prestasi pemain dalam Liga Malaysia (Liga M) sepanjang ketiadaan Kim Swee. 

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Air Asia X, Datuk Kamaruddin Meranun, yang juga salah seorang pemilik QPR, menyifatkan peluang yang diberikan kepada Kim Swee dan Maloney itu sebagai menghargai komitmen mereka dalam membantu bola sepak tempatan. 

"Air Asia X telah menubuhkan sebuah pasukan tempatan, iaitu Petaling Jaya (PJ) Rangers. 

"Berkemungkinan besar kalau dipersetujui, kami akan bekerjasama dengan PJ Rangers serta FAS (Persatuan Bola Sepak Selangor) dan FAM (Persatuan Bola Malaysia) untuk membawa pemain QPR ke sini," katanya. 

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment