Kiko Insa: Saya buat pilihan tepat sertai Pahang

By Ammar Hakim 21 January 2017
Kiko Insa: Saya buat pilihan tepat sertai Pahang

Pemain naturalisasi Pahang, Kiko Insa, berkata dia telah membuat pilihan tepat untuk bersama skuad Tok Gajah yang dilihat mampu mencabar kejuaraan Liga Malaysia musim ini.

Insa sebelum ini pernah menerima tawaran dari Sarawak, namun mengubah haluan pada saat-saat akhir untuk bersama Pahang.

Selain dikendalikan jurulatih berpengalaman, Dollah Salleh, dia melihat kejayaan pengurusan memburu ramai pemain berstatus bintang memperkuatkan keyakinannya untuk bersama Pahang.

"Ini merupakan tahun yang penting buat Pahang dalam saingan Liga Super dan mereka telah merombak pasukan untuk mendapatkan pemain-pemain berkualiti.

"Selain itu, saya juga tidak sabar untuk berkhidmat di bawah kendalian jurulatih, Dollah Salleh, beliau seorang jurulatih yang berpengalaman," katanya.

Berusia 28 tahun dan dilahirkan di Sepanyol, Insa pernah beraksi di kelab divisyen tiga Sepanyol, CD Alcoyano dan kelab Belgium, Ur Namur.

Berdasarkan pengalaman, dia yang boleh beraksi di posisi tengah dan pertahanan, bersedia jika diberikan peluang bersama skuad kebangsaan.

Dalam masa sama, dia gembira kerana hajatnya memperoleh kerakyatan negara ini tercapai.

"Saya sangat gembira kerana mendapat status naturalisasi sebagai rakyat Malaysia dan saya bersedia menyarung jersi skuad negara jika khidmat saya diperlukan."

About Author

Ammar Hakim

Comment