Khairy sokong keputusan empat pemain buat pusingan U

By Staff Writer 1 April 2017
Khairy sokong keputusan empat pemain buat pusingan U
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, menyokong keputusan empat pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk kembali ke pangkuan skuad kebangsaan walaupun mereka dituduh tidak memiliki semangat patriotik.

Beberapa pihak membantah tindakan bekas kapten negara, Safiq Rahim, S. Kunanlan, Amirulhadi Zainal dan Aidil Zafuan Abd Radzak untuk membuat penampilan semula di peringkat antarabangsa.

Mereka didakwa tidak patriotik apabila mengumumkan persaraan sebelum Harimau Malaysia mencabar dalam kempen Piala Suzuki AFF tahun lalu.

Malaysia yang ketika itu di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee, gagal melepasi peringkat kumpulan.

Ironinya, mereka berhasrat buat penampilan semula selepas pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, dipilih selaku presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Mario Gomez diumumkan pengendali baru skuad kebangsaan.

"Panggilan ke skuad kebangsaan adalah satu penghormatan yang tinggi.

"Saya enggan komen keputusan mereka terdahulu tetapi apabila kita menerima panggilan itu, wajar untuk sesiapa sahaja yang terpanggil memenuhi permintaan daripada skuad kebangsaan," jelas Khairy.

Walaupun dibantah beberapa pihak, namun tindakan pemain kembali daripada persaraan bukan sesuatu yang luar biasa.

Setakat ini, FAM belum mengumumkan sesi latihan pertama di bawah kendalian Gomez menjelang aksi menentang Korea Utara, 8 jun depan untuk kelayakan Piala Asia 2019.
 

About Author

Staff Writer

Comment