Khairy selami hasrat ahli gabungan sebelum sahkan bertanding jawatan presiden FAM

By Shaiful Shamsudin 4 February 2017
 Khairy selami hasrat ahli gabungan sebelum sahkan bertanding jawatan presiden FAM
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, akan mengadakan perjumpaan dengan ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mencalonkannya untuk jawatan presiden sebelum mengesahkan pendirian untuk bertanding atau menarik diri. 

Khairy menjelaskan beliau ingin tahu apa hasrat ahli gabungan mahu mencalonkannya untuk bertanding jawatan presiden FAM. 

Mengakui pencalonan itu masih dalam pertimbangan, Khairy menjelaskan beliau hanya akan memberi jawapan setelah mengadakan pertemuan dengan mereka selewat-lewatnya minggu depan. 

Beliau sebelum ini difahamkan meraih pencalonan daripada persatuan bola sepak negeri seperti Perak, Perlis dan Pulau Pinang. 

"Saya akan bertemu mereka yang telah mencalonkan saya untuk mengetahui sebabnya," katanya. 

Mengenai isu wabak demam denggi di sekitar kawasan Majlis Sukan Negara (MSN), Khairy menarik nafas lega melihat penurunan kes yang dicatatkan minggu ini. 

Bagaimanapun, beliau mahu pemeriksaan serta aktiviti pembersihan sentiasa berterusan sehingga menjelang Sukan SEA 2017. 

"Setakat ini, kes baru wabak denggi menurun dengan mendadak. 

"Pesakit demam denggi juga sudah mula dibenarkan keluar dari hospital dan kami sedang memastikan langkah-langkah mencegah wabak ini diadakan secara berterusan sehingga Sukan SEA."

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment