Khairy sambut baik keputusan AFC

By Shaiful Shamsudin 16 March 2017
Khairy sambut baik keputusan AFC
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, bersetuju dengan keputusan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk mengadakan aksi Kelayakan Piala Asia 2019 di antara Malaysia dan Korea Utara di gelanggang berkecuali pada 8 Jun depan biarpun ia mengundang masalah kepada Harimau Malaysia. 

Ia dianggap keputusan paling tepat memandangkan hubungan diplomasi kedua-dua negara masih tegang. 

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) diminta mematuhi arahan itu walaupun ia menyebabkan jadual skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee semakin padat kerana akan berdepan Lubnan, lima hari kemudian. 

"Saya harap perlawanan 8 Jun nanti tidak akan mengganggu persiapan untuk menghadapi perlawanan lain. 

"Tetapi, keputusan berkenaan venue itu adalah tepat. 

"Saya berasakan keputusan aksi timbal balik di venue berkecuali juga adalah keputusan yang adil," ujarnya. 

AFC memutuskan aksi pertama Kumpulan B, pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2019 perlu diadakan di gelanggang berkecuali berbanding venue asal di Pyongyang. 

Persatuan Bola Sepak Korea Utara diarah mencadangkan venue baru sebelum 14 April depan bagi perlawanan yang sepatutnya dilangsungkan pada 28 Mac ini. 

Kali terakhir Malaysia beraksi dalam Piala Asia ialah pada 2007 ketika menjadi tuan rumah. 
 

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment