Khairy perlu fikir masak-masak -- Koo Khay Kim

By Amirul Azreen 30 January 2017
Khairy perlu fikir masak-masak -- Koo Khay Kim

Pemerhati sukan negara, Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim, menasihatkan agar Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, berfikir sedalam-dalamnya untuk bertanding jawatan presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Badan induk bola sepak negara itu akan berdepan masalah jika Khairy dipilih mengisi kerusi panas itu.

Nadi Arena sebelum ini melaporkan Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Datuk Windsor Paul, gusar dengan pembabitan Khairy sebagai calon presiden FAM.

Menurut Windsor, risiko FAM dikenakan hukuman oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) amat besar jika Khairy memegang jawatan sebagai presiden FAM dan Menteri Belia dan Sukan pada waktu yang sama.

Ini memandangkan sebarang kemungkinan untuk menyelesaikan sesuatu isu pada masa depan berupaya membabitkan elemen campur tangan kerajaan.

Perkara itu turut diakui Kay Kim yang berpandangan Khairy harus membuat pilihan mengenai kedudukannya.

"Tidak boleh menggunakan kedudukan selaku ahli politik sebagai faktor utama untuk menjadi pemimpin dalam bidang sukan. Itu tidak boleh.

"Kini terpulang kepada dia sama ada akan memberikan tumpuan kepada bola sepak sepenuhnya atau tidak. Lebih daripada satu jawatan memang sukar," jelasnya.

Khairy dalam reaksinya sebelum ini, hanya akan menarik diri daripada bertanding jika Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, mahu merebut jawatan nombor satu organisasi itu.

About Author

Amirul Azreen

Comment