Khairy layak bertanding jawatan presiden FAM -- Hamidin

By Shaiful Shamsudin 24 January 2017
 Khairy layak bertanding jawatan presiden FAM -- Hamidin
"Khairy layak bertanding." Itu pengesahan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, selepas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, turut dicalonkan untuk merebut 'kerusi panas' presiden FAM. 

Kongres FAM Ke-55, Mac ini, bakal menyaksikan saingan empat penjuru bagi merebut jawatan presiden FAM. 

Ia susulan empat individu telah dicalonkan, iaitu Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Tan Sri Aseh Che Mat, Tan Sri Annuar Musa dan Khairy. 

Difahamkan, Khairy dicalonkan oleh Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) beberapa hari sebelum proses pencalonan yang berakhir petang semalam.

"Khairy, namanya turut disebut-sebut. 

"Seperti mana dalam perlembagaan, mana-mana warganegara Malaysia boleh bertanding walaupun jarang seorang Menteri Belia dan Sukan memegang jawatan ini. 

"Tapi ia tidak salah dari segi perundangan," ujar Hamidin. 

Kelibat Khairy dipercayai mengubah jumlah pencalonan terhadap Aseh yang dikatakan mendapat pencalonan tertinggi menerusi 12 pencalonan sebelum ini.  

Hamidin, bagaimanapun, enggan mendedahkan jumlah pencalonan setiap calon terbabit. 

Apa pun, ia bakal menyaksikan perebutan paling sengit bagi jawatan presiden sekiranya keempat-empat calon tersebut mengesahkan untuk bertanding sebelum 13 Februari ini. 

Senarai akhir yang akan bertanding kemudian akan diumumkan dalam mesyuarat exco pada 20 Februari. 

"Saya nampak saingannya sengit dan terbuka. 

"Dari segi suasana, ramai pemimpin yang dilihat mahu memberi khidmat kepada FAM."
 

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment