Khairul Helmi dipanggil sarung jersi Harimau Malaysia

By Staff Writer 30 September 2016
Khairul Helmi dipanggil sarung jersi Harimau Malaysia
Kapten dan pertahanan Kedah, Khairul Helmi Johari, menjadi pemain ke-29 dipanggil pengendali kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee, menjelang aksi persahabatan dengan Singapura, 7 Oktober ini. 

Bagi Kim Swee, dia memerlukan pemain tambahan di bahagian benteng bagi menambah keampuhan pertahanan. 

Kim Swee turut enggan menanggung risiko kekurangan pertahanan pengalaman selepas Ronny Harun mengalami kecederaan belakang semalam. 

Khairul Helmi akan melaporkan diri selepas saingan separuh akhir pertama Piala Malaysia, 2 Oktober. 

"Kami mempunyai sedikit kesukaran di bahagian pertahanan tengah. Ronny mengalami sedikit kecederaan lama dan sudah tidak berlatih selama dua hari. 

"Jadi, saya mengambil keputusan untuk memanggil Khairul Helmi, di mana selepas perlawanan Piala Malaysia, dia perlu melaporkan diri bersama pemain-pemain Kedah yang lain," terang jurulatih itu. 

Kali terakhir Khairul Helmi dipanggil skuad negara ialah ketika saingan Piala Suzuki 2010. 

Namun, Kim Swee tidak berasa ia masalah buat pemain itu bersama skuad kebangsaan, memandangkan aksi konsistennya sepanjang musim ini bersama Kedah. 

"Saya percaya dengan kemasukan Khairul Helmi sebagai ketua pasukan Kedah. Kita tahu Kedah bermain dengan begitu cemerlang musim ini. 

"Saya harap dengan kemasukan Khairul Helmi, walaupun dia tidak bermain (di peringkat antarabangsa) agak lama, tetapi dia mempunyai pengalaman yang cukup luas, bukan sahaja di dalam padang, tetapi juga di luar padang."
 

About Author

Staff Writer

Comment