Khairul Azhan perlu guna peluang sebaik mungkin -- Maloney

By Ammar Hakim 14 March 2017
Khairul Azhan perlu guna peluang sebaik mungkin -- Maloney

Penolong ketua jurulatih kebangsaan, Brad Maloney, menyuarakan keyakinan terhadap Khairul Azhan Khalid untuk menggalas tugas selaku penjaga gol utama negara untuk aksi persahabatan antarabangsa berdepan Filipina, 22 Mac ini.

Bagi Maloney, keyakinan tenaga kejurulatihan skuad kebangsaan terhadap Khairul Azhan adalah berlandaskan aksi konsisten pemain kelahiran Kuantan itu bersama Selangor musim ini.

Ketiadaan Khairul Fahmi Che Mat dalam skuad kebangsaan kini tampak membuka ruang buat bekas penjaga gol Pahang ini menggalas tugas selaku benteng terakhir pasukan.

"Dia berada di tahap terbaik, saya berpendapat Khairul Azhan telah beraksi cemerlang ketika berdepan Singapura, ini merupakan peluang untuk dirinya mengukuhkan tempat di dalam skuad negara," kata Maloney.

Dalam pada itu, Khairul Azhan tetap merendah diri dengan berasa masih ada ruang peningkatan buat dirinya mengukuhkan kedudukan selaku penjaga gol utama negara.

Dan aksi berdepan Filipina disifatkan sebagai satu lagi pendedahan peringkat tertinggi yang mampu menambah kematangannya.

"Saya percaya banyak lagi perkara yang harus dipertingkatkan dari segi permainan saya, diberikan peluang untuk beraksi bersama Malaysia adalah peluang buat saya meningkatkan lagi pengalaman bermain di peringkat antarabangsa," jelas Khairul Azhan.

About Author

Ammar Hakim

Comment