KFA jalin kerjasama dengan NFDP

By Staff Writer 11 October 2016
KFA jalin kerjasama dengan NFDP
Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) mencipta sejarah selaku persatuan negeri pertama menjalin kerjasama dengan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).

Melalui kerjasama kedua-dua pihak, NFDP secara tidak langsung bakal bertindak selaku Unit Pembangunan Bola Sepak KFA dalam penghasilan bakat muda berumur di antara 13 dan17 tahun.

Bagi menjayakan misi berkenaan, KFA berperanan untuk membantu NFDP menyediakan sokongan infrastruktur kepada semua barisan kejurulatihan.

Majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) itu berlangsung di Kementerian Belia dan Sukan, selain turut memperkenalkan logo Akademi Dato Ahmad Basri (ADAB).

KFA diwakili presiden dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, sementara Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, mewakili pihak NFDP.

"Ini merupakan satu perjanjian yang bersejarah kerana melalui perjanjian ini, kami akan mempunyai penyelarasan yang lebih baik lagi di peringkat negeri. 

"Akademi-akademi yang ditubuhkan di bawah NFDP di negeri Kedah, akan berkerjasama rapat dengan KFA untuk melahirkan bakat yang bakal bersama pasukan negeri Kedah," jelas Khairy.

Bagi jangka masa panjang, beliau menggesa lebih banyak persatuan bola sepak negeri atau kelab mengikuti jejak langkah KFA.

Sementara itu, Khairy menjelaskan pihaknya akan memberi maklum balas kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), mengenai isu Pengarah NFDP, Lim Teong Kim, dalam aksi siri jelajah skuad bawah 14 tahun di Korea Selatan.

Teong Kim mencetuskan kontroversi, apabila mengarahkan pemainnya tidak turun beraksi pada separuh masa kedua selepas ketinggalan 0-4 kepada Pohang Steelers.

"Lebih baik kami menyerahkan kepada NFDP yang telah pun menyediakan ulasan dan juga laporan dan ia akan diserahkan kepada pihak FAM dalam masa terdekat.

"Kami berharap sama ada pegawai atau pun pemain yang mewakili negara, akan sentiasa menjaga disiplin."

About Author

Staff Writer

Comment

Read Next

Gunalan gembira Shahrom bebas kecederaan

By 11 Oktober 2016. 11.53 AM