Kepimpinan baru FAM mampu bentuk gandingan pengurusan berkesan -- Shapawi

By Ammar Hakim 26 March 2017
Kepimpinan baru FAM mampu bentuk gandingan pengurusan berkesan -- Shapawi

Ketua Pengarah, Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, percaya barisan kepimpinan baru FAM yang diterajui Tunku Ismail Sultan Ibrahim kini mampu membentuk gandingan pengurusan berkesan dalam usaha mengembalikan zaman kegemilangan bola sepak negara.

Keyakinan Shapawi adalah berlandaskan pengalaman dan latar belakang setiap ahli jawatankuasa eksekutif FAM bagi penggal 2017-2021.

Shapawi turut menyifatkan pengalaman dua timbalan presiden, Datuk Seri Subahan Kamal dan Datuk Wira Yusoff Mahadi, mampu membantu Tunku Ismail dalam melakukan perubahan serta perancangan ke arah penambahbaikan bola sepak negara.

"Kami berharap Datuk Seri Subahan Kamal dan Datuk Wira Yusoff mampu membantu Tunku Ismail ketika memimpin FAM, dalam misi menjernihkan semula maruah bola sepak negara," katanya.

Subahan pernah menduduki jawatan naib presiden FAM sebelum ini dan juga pengurus skuad negara yang meraih emas Sukan SEA 2009 serta menjuarai Piala Suzuki AFF 2010, selain memegang jawatan presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) kini.

Yusoff sebelum ini adalah Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai FAM dan beliau juga masih Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka.

Shapawi turut percaya kerjasama erat di antara MSN dan FAM akan berterusan bersama kepimpinan baru FAM. 

"Selama ini, hubungan di antara MSN dan FAM sangat baik, kami akan terus memberikan kerjasama dengan badan induk itu dalam program-program baru yang bakal dilaksanakan."

Antara langkah awal dalam "pembersihan rumah" seperti yang disuarakan Tunku Ismail sebelum ini adalah menyemak semula akaun FAM di mana ia penting dalam memastikan segala pelan selepas ini seiring dengan bajet yang ada.

Pertukaran jurulatih skuad kebangsaan dan skuad muda negara hanyalah langkah pertama dalam penambahbaikan pasukan negara.

Dalam memastikan mutu pengadilan tidak ketinggalan, teknologi baru adalah antara yang akan diperkenalkan.

Malah, lambakan staf di FAM akan turut dinilai semula.

Kredit imej: FB Football Association of Malaysia (Official)

About Author

Ammar Hakim

Comment