Kelayakan Piala Asia: Jaminan keselamatan tidak kira di mana venue ditetapkan -- Rizal Hashim

By Shaiful Shamsudin 8 March 2017
Kelayakan Piala Asia: Jaminan keselamatan tidak kira di mana venue ditetapkan -- Rizal Hashim
Pemerhati sukan, Rizal Hashim, percaya Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) akan membuat keputusan adil dalam menentukan gelanggang berkecuali untuk aksi Kelayakan Piala Asia di antara Korea Utara dan Malaysia, hujung minggu ini.

China dilihat sebagai lokasi paling sesuai berlandaskan kedudukan geografi serta hubungan diplomatik yang baik bersama Korea Utara dan Malaysia.

Mengikut syarat pertandingan AFC, Korea Utara selaku tuan rumah perlawanan pada 28 Mac ini diberi keutamaan dalam menentukan gelanggang berkecuali.

"Kalau China dianggap lokasi terbaik oleh Korea Utara disebabkan mereka ada hak untuk menentukan gelanggang berkecuali, itu tetap memberi kelebihan kepada Korea Utara dari segi kekuatan teknikal mereka selain keadaan dan senario yang hampir serupa. 

"Apa sahaja yang berlaku pun dan di mana sahaja gelanggang yang ditetapkan, pasukan negara harus diberi jaminan keselamatan, itu isu paling besar," ujarnya. 

Rizal turut berasa tindakan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menghalang skuad negara ke Pyongyang sebagai keputusan tepat dan ia tidak boleh ditafsirkan sebagai campur tangan kerajaan.

"Dalam hal ini, kerajaan mengutamakan keselamatan pasukan negara, sebab itu ia tidak ada kena-mengena dengan soal campur tangan. 

"Ia adalah faktor keselamatan yang harus dijamin untuk pasukan negara," tambahnya. 

Kes pembunuhan seorang warga Korea Utara yang dipercayai abang tiri pemimpin negara itu, Kim Jong-un, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) pada 13 Februari lalu menyebabkan ketegangan hubungan diplomatik Pyongyang-Kuala Lumpur.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerima saranan KBS untuk tidak menghantar skuad negara ke Pyongyang dan sudah memohon aksi pada 28 Mac ini diadakan di gelanggang berkecuali atas faktor keselamatan.

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment