Kelayakan Piala Asia: Jadual Liga M mungkin dirombak

By Shaiful Shamsudin 15 March 2017
 Kelayakan Piala Asia: Jadual Liga M mungkin dirombak
Pengendali kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee, mengakui skuad Harimau Malaysia kini berdepan cabaran persediaan untuk menghadapi aksi kedua Kelayakan Piala Asia berdepan Lubnan di Kuala Lumpur pada 13 Jun depan, hanya lima hari selepas berdepan Korea Utara di gelanggang berkecuali. 

Kebimbangan Kim Swee kini adalah mengenai tempoh pemulihan buat semua pemain selepas aksi dengan Korea Utara, dengan pasukan itu dijangka memilih negara berdekatan mereka sebagai gelanggang berkecuali untuk aksi 8 Jun depan. 

Kim Swee mengakui skuad negara perlu meraih keputusan positif dalam dua aksi awal Kelayakan Kumpulan B itu andai mahu mencerahkan peluang untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia 2019. 

"Apa jua keputusan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk venue akan datang, kita harus bersiap sedia dengan tarikh yang ditetapkan. 

"Pengurusan juga perlu berbincang dengan pihak Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) untuk kami bersedia secara lebih efektif kali ini, di mana dua perlawanan dengan Korea Utara dan Lubnan cukup penting," ujarnya. 

Dalam pada itu, Setiausaha Agung, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, akur dengan keputusan yang sudah dibuat AFC berhubung tarikh perlawanan dengan Korea Utara. 

Hamidin tidak menolak kemungkinan jadual Liga Malaysia (Liga M) perlu dirombak bagi membolehkan barisan negara fokus untuk menghadapi aksi berdepan Korea Utara dan Lubnan, Jun nanti. 

"Saya akan membawa perkara ini kepada exco baru nanti untuk melihat apa yang boleh dibantu pasukan kebangsaan ini untuk mengadakan latihan lebih awal lagi," katanya. 

Nadi Arena turut mendapatkan reaksi pemain kebangsaan berkenaan tarikh baru itu.  

"Apa yang penting, pemain-pemain mendapat rehat yang cukup untuk perlawanan kedua itu nanti," kata penyerang negara, Safee Sali. 

Amri Yahyah pula berkata jadual perlawanan itu bukanlah masalah besar kerana menganggap sudah sinonim dengan jadual padat Liga M dengan menawarkan pandangan, "Pemain-pemain kebangsaan perlu menempuhi juga perlawanan itu kerana sudah terbiasa dengan aksi Liga M yang berselang tiga hari. 

"Insya-Allah, pemain akan memberikan aksi terbaik walaupun jarak perlawanan agak rapat."


About Author

Shaiful Shamsudin

Comment