Kelayakan Piala Asia: Ini soal keselamatan rakyat -- Khairy

By Shaiful Shamsudin 7 March 2017
 Kelayakan Piala Asia: Ini soal keselamatan rakyat -- Khairy
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menafikan arahan Kerajaan Malaysia tidak membenarkan skuad kebangsaan ke Pyongyang sebagai campur tangan kerajaan, sebaliknya akur arahan berkenaan atas dasar pertimbangan faktor keselamatan. 

Skuad negara dijadualkan bertemu Korea Utara dalam kelayakan Piala Asia di tempat lawan pada 28 Mac ini. 

Begitupun, FAM memohon kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk aksi sulung Kumpulan B itu diadakan di gelanggang berkecuali. 

Ia susulan wujud ketegangan hubungan diplomatik di antara Malaysia dan Korea Utara ekoran kes pembunuhan Kim Jong-nam yang merupakan abang tiri kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un. 

Ketika ramai berpendapat arahan skuad negara tidak ke Pyongyang boleh menyebabkan FAM digantung oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, tampil memberi penjelasan. 

"FAM mesti berpendirian bersama kerajaan dari segi keselamatan. 

"Ini adalah isu pokok keselamatan dan bukan melibatkan (urusan) pentadbiran, pemilihan atau perkara lain. 

"Ini isu berbeza. 

"Saya perlu jelaskan sekali lagi, FIFA hanya akan mengambil tindakan jika ada rungutan mengenai campuran tangan kerajaan. 

"Ini bukan soal campur tangan," katanya. 

Keadaan kini semakin meruncing apabila Korea Utara melarang rakyat Malaysia daripada keluar atau meninggalkan negara itu sebelum sekatan sama dilakukan Malaysia. 

Apa pun, FAM masih menunggu kata putus AFC berhubung venue perlawanan berkenaan yang berkemungkinan diadakan di Beijing, China. 

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, menjelaskan situasi di mana 11 rakyat Malaysia yang tidak dibenarkan keluar dari Korea Utara ketika ini sudah cukup untuk menjawab persoalan AFC yang menuntut maklumat tambahan alasan kerajaan Malaysia yang tidak membenarkan skuad Harimau Malaysia ke Pyongyang. 

Khairy mengharapkan AFC dapat memberi kata putus sewajarnya mengenai lokasi aksi sulung Kumpulan B itu demi faktor keselamatan semua pihak. 

Tegasnya, pihak kerajaan berhak untuk memberi saranan dan nasihat yang sewajarnya kepada FAM jika ia melibatkan keselamatan rakyat Malaysia. 

"Pasukan Malaysia itu sendiri adalah rakyat Malaysia. 

"Kerajaan adalah badan paling tinggi dari segi menjaga keselamatan rakyat Malaysia. 

"Hanya kerajaan yang boleh membuat penilaian itu, bukannya persatuan sukan. 

"Kalau mereka boleh buat sekatan itu kepada kakitangan duta kita, kita tidak akan hantar pasukan kita ke sana," ujar Khairy. 

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment