Kelayakan Piala Asia 2019: Malaysia-Korea Utara mungkin beraksi di padang berkecuali

By Ammar Hakim 20 February 2017
Kelayakan Piala Asia 2019: Malaysia-Korea Utara mungkin beraksi di padang berkecuali

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan melakukan tindakan susulan dengan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengenai status sebenar perlawanan Korea Utara dan Malaysia pada 28 Mac depan.

Hubungan diplomatik Korea Utara dan Malaysia dilihat semakin tegang apabila kerajaan mengarahkan Duta Malaysia pulang dari Pyongyang.

Ia susulan kes kematian abang tiri Presiden Korea Utara, Kim Jong-Nam, di tanah air yang mencetuskan pelbagai polemik serta menjejaskan hubungan di antara kedua-dua negara.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, tidak menolak kemungkinan aksi pertama Kumpulan B, kelayakan Piala Asia 2019 itu akan diadakan di gelanggang berkecuali jika keadaan semakin tegang.

"Setakat ini, tiada apa-apa perkembangan mengenai perlawanan itu dan kalau FAM rasa tidak selamat untuk beraksi di sana, kami akan berhubung dengan AFC.

"AFC akan membuat keputusan sama ada perlawanan itu akan berlangsung di gelanggang berkecuali atau ditangguhkan," kata Hamidin.

Dalam perkembangan lain, Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah, memberi jaminan semua pasukan akan memberikan kerjasama untuk melepaskan pemain mereka untuk persiapan skuad Sukan SEA 2017.

Walaupun tidak memberikan sebarang petanda sama ada akan mengenakan hukuman jika ada pasukan yang ingkar, beliau berasakan pendekatan diplomasi lebih sesuai untuk digunakan.

"Kami telah mencadangkan latihan pusat akan bermula pada bulan Mei. Kami juga mengambil pendekatan jika pemain-pemain yang dipanggil diperlukan untuk beraksi bersama kelab atau negeri masing-masing, mereka boleh diberikan perlepasan satu atau dua hari sebelum perlawanan," jelas Afandi.

 

About Author

Ammar Hakim

Comment