Kejutan bakal berlaku dalam saingan Liga Super 2017 -- Hasnizam

By Ammar Hakim 23 January 2017
Kejutan bakal berlaku dalam saingan Liga Super 2017 -- Hasnizam

Saingan Liga Super 2017 yang membuka tirai secara rasmi minggu lalu memberi gambaran awal betapa saingan sengit dijangka berlaku sepanjang musim ini berbanding musim lalu yang jelas mudah didominasi penyandang juara, Johor Darul Ta’zim (JDT).

JDT begitu gah pada musim lalu apabila menjuarai saingan Liga Super dengan kelebihan 15 mata ke atas pencabar terdekat, Felda United.

Malah, skuad Harimau Selatan tidak tewas sepanjang 2016 selepas mencatat 18 kemenangan dan empat keputusan seri daripada 22 perlawanan.

Musim ini, cabaran berbeza menanti JDT dan awal-awal lagi ia sudah terbukti apabila diikat seri 1-1 menentang Kedah dalam aksi pertama di laman sendiri minggu lalu.

Hanya berdasarkan keputusan itu, Kedah pula diletakkan pilihan ramai untuk menjadi pencabar utama kejuaraan ketika beberapa pasukan lain juga memiliki kekuatan sama-rata.

Ini menerusi dua aksi pertama lain berakhir dengan keputusan seri sementara Felda United sekadar meraih kemenangan tipis ke atas PKNS FC kecuali Selangor yang membuat kejutan.

Meskipun masih terlalu awal untuk menjangkakan hala tuju setiap pasukan tetapi penganalisis bola sepak tempatan, Hasnizam Uzir, berasakan saingan musim ini akan berlangsung seimbang.

"Seperti biasa, JDT, Kedah dan Selangor akan memberikan saingan untuk merebut takhta liga, namun kita juga harus melihat pasukan-pasukan lain juga mampu melakukan kejutan musim ini," jelasnya.

About Author

Ammar Hakim

Comment