Kehadiran Safee mantapkan pasukan -- Elavarasan

By Ammar Hakim 21 December 2016
 Kehadiran Safee mantapkan pasukan -- Elavarasan

Pengendali PKNS FC, E. Elavarasan, menyambut baik kedatangan penyerang kebangsaan, Safee Sali, ke pasukannya dan mula membayangkan gandingan bekas pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu bersama Patrick Ronaldinho di bahagian serangan.

Bagi Elavarasan, Safee mampu menambah kekuatan keseluruhan kepada pasukannya berlandaskan pengalaman luasnya.

Kehadiran Safee turut membolehkan PKNS untuk mempunyai variasi kombinasi di bahagian serangan.

"Dia mempunyai pengalaman yang luas serta pengalaman beraksi di luar negara, secara automatik saya berasa dia boleh menyesuaikan diri dengan pasukan kami.

"Jika PKNS mampu untuk mendapatkan khidmatnya, saya boleh membayangkan gandingannya bersama Patrick walaupun kami mempunyai Matias Hadwa, saya boleh meletakkan dia di posisi lain," jelasnya.

Selain Safee, skuad PKNS musim 2017 turut diperkuatkan dua bekas pemain kebangsaan, Amiridzwan Taj Tajuddin dan Khyril Muhymeen Zambri.

Kini cabaran buat Elavarasan adalah untuk memastikan kesemua pemain baru dapat membentuk keserasian sebelum saingan liga bermula Januari depan.

"Pemain sedang memahami kaedah yang saya gunakan kerana ada pemain yang tidak pernah bermain di bawah kendalian saya, jadi ia mungkin akan mengambil masa sedikit.

"Pemain telah menunjukkan peningkatan. Minggu demi minggu saya dapat melihat peningkatan dan mereka mempercayai sistem yang kami gunakan dan saya melihat itu satu peningkatan.

"Saya percaya pemain akan mula bersedia sepenuhnya apabila musim baru bermula."

About Author

Ammar Hakim

Comment