Kami tidak harapkan bulan bintang, cukuplah kekal dalam Liga Super musim ini -- Posa

By Ammar Hakim 8 January 2017
Kami tidak harapkan bulan bintang, cukuplah kekal dalam Liga Super musim ini -- Posa

“Kami tidak mengimpikan bulan dan bintang kerana kami sedar, pasukan ini pasukan muda dan masih baharu,” kata Datuk Posa Majais, Presiden  Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) yang baharu, ketika diminta mengulas peluang pasukan Ngap Sayot dalam Liga Super musim ini.
 
Menurutnya, dengan 90 peratus pemain muda, dan pemain import kesemuanya baharu, beliau tidak mengharapkan podium untuk anak-anak buahnya.
 
“Cukuplah berada di kedudukan yang lebih baik dan selesa berbanding kedudukan kelapan dari senarai liga pada musim lalu.
 
“Yang penting, kami mahu mereka kekal dalam Liga Super,” jelasnya lagi.
 
Kecuali dua pemain import yang masih belum dimuktamadkan, rata-rata anak buah David Usop ini berusia sekitar 24 tahun.
 
Kata Posa, pada musim ini pasukan Ngap Sayot masih memerlukan khidmat pemain luar, dengan dua daripada mereka telah dimuktamadkan.
 
Sarawak memerlukan tambahan seorang lagi pemain import di barisan pertahanan selepas pemain importnya dari Liberia pada musim lalu, Teah Dennis, gagal dalam ujian kesihatan.
 
“Tetapi selepas ini, kami akan berusaha untuk menambah jumlah pemain tempatan, kerana kami yakin akan kemampuan mereka.
 
“Hanya sebelum ini mereka kurang diberi peluang dan pendedahan,” katanya lagi.
 
Diminta mengulas kedudukan FAS setelah kebanyakan persatuan negeri lain berhadapan masalah kewangan, Posa yakin Sarawak tidak akan berhadapan isu tersebut.  

“Insya-Allah kami akan dapat mengharungi musim ini dengan tenang tanpa masalah kewangan,” katanya.
 
Pada kali ini, David telah diberi kepercayaan sebagai ketua jurulatih pada awal musim dan akan berganding dengan Abdul Wahet Uji sebagai pengarah kejurulatihan.
 
Beliau akan dibantu oleh Pengiran Bala dan Stanley Frazier sebagai penolong ketua jurulatih.

About Author

Ammar Hakim

Comment