Kami tidak boleh terlalu yakin - Gunalan

By Ammar Hakim 2 October 2016
Kami tidak boleh terlalu yakin - Gunalan

Pengendali Selangor, K. Gunalan, menyifatkan kemenangan 2-1 ke atas T-Team dalam saingan separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, malam tadi, bukanlah satu bekalan selesa sebaliknya menuntut para pemainnya bersedia menghadapi saingan sengit pada pusingan kedua kelak.

“15 minit pertama kami beraksi baik dengan melakukan serangan awal dan mempunyai peluang untuk menjaringkan gol.

“Selepas itu kami jentera tengah kami sedikit terjejas selepas Nazmi Faiz (Mansor) dikeluarkan sehingga membawa kepada sepakan penalti kepada pasukan lawan.

“T-Team juga bermain dengan bagus sehingga minit ke-40 sehinggalah kami menukar corak permainan kepada lebih agresif dan menyerang namun gagal menyempurnakan peluang terhidang.”

Ketinggalan 0-1 menerusi sepakan penalti Patrick Cruz pada minit ke-22, The Red Giants bangkit menerusi jaringan Ahmad Hazwan Bakri pada masa kecederaan babak pertama dan gol kemenangan Ugochukwu Ukah pada minit ke-75.

“Saya memberitahu para pemain sekiranya kami mahu ke final, kami tidak boleh beraksi seperti mana aksi separuh masa pertama.

“Persembahan Andik (Vermansyah), Hazwan (Bakri), Gopinathan dan Patrik (Ronaldinho) lebih menyerlah pada babak kedua begitu juga dengan kemasukan Adam (Norazlin).

“Kami tewas 0-1 kepada T-Team dalam saingan liga di Kuala Terengganu jadi bukan tugas mudah untuk aksi kedua nanti namun saya akan terus memberi motivasi kepada pasukan.

“Yang penting para pemain perlu fokus dan kami hanya satu langkah lagi untuk ke final malah jika kami bekerja keras saya percaya kami mampu melakukannya,” tambahnya.

About Author

Ammar Hakim

Comment