Kami bernasib baik -- Abdul Malik

By Ammar Hakim 18 February 2017
Kami bernasib baik -- Abdul Malik

Penyerang Kuantan FA, Abdul Malik Mat Ariff, mengakui mereka sedikit bernasib baik meraih tiga mata berdepan MISC-MIFA selepas selesa mendahului lawan dengan tiga jaringan.

Abdul Malik berasa lega apabila dua jaringannya dalam separuh masa pertama berjaya memastikan pasukannya melakar kemenangan 3-2 di Kuantan.

Bukan sekadar mahu menjauhi zon penyingkiran, sebaliknya dia berharap kemenangan itu menyemarakkan lagi keyakinan pasukan untuk meraih slot ke Piala Malaysia musim ini.

Kuantan FA perlu berada dalam kalangan lima terbaik selepas pusingan pertama Liga Perdana untuk beraksi dalam Piala Malaysia.

"Kami perlu bekerja keras lagi dalam perlawanan akan datang, masih terdapat beberapa perkara yang harus diperbaiki bagi memastikan kami beraksi dalam Piala Malaysia," jelas Malik.

Sementara itu, Bodric Dimitri yang sudah menjaringkan lima gol bersama MISC-MIFA setakat ini, berasakan jika percubaannya pada minit ke-39 tepat ke sasaran, kemungkinan situasi perlawanan akan berubah.

Walaupun berasakan kekalahan itu tidak adil, Bodric mahu rakan sepasukan mengambil sesuatu yang positif untuk aksi akan datang.

"Kami telah mencuba menjaringkan gol, namun segalanya tidak menjadi. Sukar buat kami menerima kekalahan ini tetapi kami harus terus ke hadapan dan cuba meraih kemenangan dalam perlawanan akan datang," ujar Bodric.

 

About Author

Ammar Hakim

Comment