Jelius kecewa tewas aksi pertama bersama Sabah

By Staff Writer 3 April 2017
Jelius kecewa tewas aksi pertama bersama Sabah
Pengendali Sabah, Jelius Ating, kecewa apabila gagal melepasi ujian sulung bersama skuad Sang Badak selepas tewas 0-1 menentang Negeri Sembilan dalam aksi suku akhir pertama Piala FA di Stadium Likas.

Jelius membuat penampilan sulung selaku pengendali Sabah kelmarin.

Bertekad untuk membantu pasukan Negeri Di Bawah Bayu ini membuat kejutan dalam kempen Piala FA, nasib bagaimanapun tidak memihak Jelius.

Ia menyaksikan penyerang Negeri Sembilan, Marko Simic, muncul pemusnah apabila meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-25.

"Kami amat kecewa dengan kekalahan ini kerana ia merupakan perlawanan pertama selepas saya mengambil alih pasukan ini. Kami menyedari Negeri Sembilan merupakan pasukan yang berkualiti," katanya.

Jelius, bagaimanapun, menganggap peluang Sabah untuk menempah tiket ke separuh akhir tetap ada walaupun perlu mengatasi defisit jaringan tempat lawan untuk pertemuan kedua di Paroi nanti.

"Kami berharap dapat mempamerkan aksi yang lebih baik dalam perlawanan kedua, masih berbaki 90 minit untuk menentukan siapa layak ke separuh akhir."


 

About Author

Staff Writer

Comment