JDT tundukkan Tok Gajah di Larkin

By Ammar Hakim 3 March 2017
JDT tundukkan Tok Gajah di Larkin

JDT 3 PAHANG 2

Penyandang juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT), menumbangkan pendahulu liga, Pahang, dengan kemenangan 3-2 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam ini.

Begitupun, skuad pelawat bimbingan Dollah Salleh lebih dahulu mengejutkan pasukan tuan rumah dengan gol pendahuluan pada minit ke-15.

Kesilapan Junior Eldstal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya dapat dipintas Azam Azih yang melorongkan untuk Matheus Alves meledakkan rembatan rendah   menewaskan penjaga gol, Izham Tarmizi.

JDT meraih gol penyamaan pada minit ke-29. Penjaga gol Pahang, Wan Muhammad Azraie Wan Teh, berjaya menepis sepakan penalti Safiq Rahim, namun gagal menyelamatkan rembatan susulan Hazwan Bakri.

Suasana di Larkin sekali lagi memihak pasukan tuan rumah selang enam minit kemudian, kali ini Safiq meloloskan umpanan untuk Hazwan menggandakan jaringannya.

Bersambung dalam babak kedua, JDT menambah jaringan pada minit ke-55, S. Kunanlan melakukan larian di bahagian sayap kanan untuk menghantar bola ke tengah bagi disempurnakan oleh Safiq.

Jika JDT menyangka cabaran lawan sudah dilenyapkan, mereka ternyata silap besar.

Pada minit ke-67, Alves menggandakan jaringannya hasil sepakan percuma cantik dari luar kawasan penalti yang menyinggahi palang sebelum menerjah masuk ketika Izham langsung tidak berpeluang melakukan apa-apa. Ia adalah gol kelapan pemain kelahiran Brazil itu.

Pahang hampir menyamakan kedudukan, Mohamadou Soumareh melakukan larian sebelum mencari Christie Jayaseelan, namun percubaannya sekadar melewati palang gol.

Kedua-dua pasukan saling mengasak untuk mencari gol tambahan namun perlawanan berakhir dengan keputusan 3-2.

Tiga mata yang diraih oleh JDT membenarkan mereka melonjakkan ke tangga ketiga liga untuk memintas Selangor.

Pengendali pasukan, Benjamin Mora, memberikan pujian kepada pemain-pemainnya di atas usaha mereka untuk meraih kemenangan ke atas Pahang.

"Kami menyedari Pahang akan menerapkan strategi menyerang untuk perlawanan ini dan ia telah dibuktikan dengan gol pertama mereka.

"Pemain-pemain (saya) telah berjaya bangkit mempamerkan permainan yang berkualiti dalam usaha untuk menghasilkan gol dalam perlawanan ini," katanya.

Safiq pula meluahkan perasaan gembiranya selepas berjaya mendapatkan tiga mata penuh daripada perlawanan ini dan menasihatkan kepada pasukan supaya mengekalkan momentum dalam perlawanan akan datang.

"Kami amat bersyukur dengan kemenangan ini, ia merupakan tiga mata penuh yang berharga buat JDT, kini tumpuan kami beralih kepada saingan Piala AFC."

Keputusan lain:

Liga Perdana

MISC-MIFA 2 UiTM FC 7

Kuantan FA 5 Perlis 0

Negeri Sembilan 2 Kuala Lumpur 1

PDRM 1 JDT II 1

PKNP 1 SABAH 1

TERENGGANU 1 ATM 0

About Author

Ammar Hakim

Comment