JDT rebah di bumi Ipoh

By Ammar Hakim 18 February 2017
JDT rebah di bumi Ipoh

Kempen Johor Darul Ta’zim (JDT) musim 2017 terus dicemari persembahan hambar susulan tewas 2-1 kepada Perak dalam aksi Liga Super yang menarik di Stadium Perak, malam ini.

Ia sekaligus menamatkan rekod tanpa kalah JDT sepanjang 22 perlawanan liga musim lalu yang hanya dapat dipertahankan dalam tiga perlawanan musim ini.

Pertemuan Perak dan JDT bermula dengan tempo permainan yang cukup pantas daripada kedua-dua pasukan.

Belum sempat tumpuan diberikan kepada adik-beradik kembar, Aidil Zafuan dan Zaquan Adha Abdul Razak, yang beraksi dengan jersi berlainan, gol pembukaan berjaya dihadirkan The Bos Gaurus seawal minit ketujuh menerusi Yashir Pinto.

Tidak sempat skuad bimbingan Karl Heinz Weigang meraikan gol pendahuluan itu, JDT bangkit menyamakan kedudukan tiga minit kemudian hasil tampanan Hazwan Bakri.

Perak terus mengorak langkah untuk menambah jaringan, dengan pemain import, Vladislav Mirchev mencari Pinto, namun gagal menewaskan penjaga gol JDT, Farizal Marlias.

Bersambung permainan dalam babak kedua, JDT menggandakan asakan ke atas pertahanan tuan rumah, dengan Safiq Rahim banyak mencetuskan gerakan berbahaya tetapi gagal menghasilkan gol di permukaan padang yang licin dibasahi hujan.

Pada minit ke-75, pemain import dari Bulgaria, Vladislav Mirchev, menyudahkan gol kemenangan buat Perak apabila Farizal gagal menolak bola keluar sepakan percuma Thiago Junior Aquino dari luar kotak penalti.

Keputusan lain:

Sarawak 0 Melaka United 1

Kelantan 0 Kedah 1

Pahang 6 Pulau Pinang 1

T-Team 2 PKNS FC 2

 

About Author

Ammar Hakim

Comment

Read Next

KLHC tagih bisa Muhammad Razie

By Ammar Hakim 18 Februari 2017. 10.35 AM