Jangan terlalu hormati JDT – Dollah

By Ammar Hakim 26 March 2017
Jangan terlalu hormati JDT – Dollah

“Tidak perlu hormati mereka," itu syarat jurulatih Pahang, Dollah Salleh, kepada anak buahnya bagi memastikan kemaraan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Piala FA terhenti di Stadium Darulmakmur.

Dollah tidak mahu kegagalan anak buahnya berpunca daripada kesilapan sendiri dan kerana terlalu menyanjungi JDT yang sememangnya memiliki prestasi terbaik sejak tiga tahun lalu.

Tegas Dollah, pertembungan dengan JDT pada 1 April ini, ibarat pra final Piala FA dan umum sememangnya arif dengan aura dalam mana-mana perlawanan membabitkan JDT dan Pahang.

Beraksi di laman sendiri memberikan bonus kepada anak buahnya, namun 90 minit di atas padang tetap bergantung sepenuhnya kepada skuad Tok Gajah.

"Kami mampu memberikan saingan, saya berharap pemain-pemain tidak terlalu menghormati pasukan lawan kerana ia akan menyukarkan kami untuk bersaing berdepan mereka," katanya.

Kebimbangan Dollah turut terarah kepada kecederaan pemain utamanya membabitkan Muslim Ahmad, Syamim Yahya, Saiful Nizam Miswan selain Christie Jayaseelan yang diharap mampu pulih sebelum aksi penting itu.

"Saya berharap Muslim, Syamim, Saiful dan Christie segera pulih bagi menghadapi perlawanan-perlawanan penting musim ini."

Dalam masa sama, pertahanan tinggi lampai, Afif Amiruddin, bakal terlepas aksi pertama suku akhir Piala FA kerana memiliki dua kad kuning terkumpul.

Perlawanan pertama suku akhir Piala FA akan berlangsung pada 1 April, dengan Sabah menjadi tuan rumah kepada Negeri Sembilan.

Kedah menanti kunjungan PKNP di Alor Setar sementara Terengganu akan berentap dengan Sarawak.

About Author

Ammar Hakim

Comment